Isnin, 4 Mac 2013

Cerita Menyelenggara/Menyara MTB

Semasa menjalankan tugas berkaitan Kursus Menunggang Basikal untuk pasukan keselamatan salah satu perkara yang kerap ditanyakan oleh peserta kursus ialah berkaitan bagaimana cara terbaik untuk membuat penyaraan atau menyelenggaraan basikal supaya berada dalam keadaan baik dan dapat memanjangkan hayat basikal tersebut.

Memang dalam silibus kursus tersebut ada satu subjek yang berkaitan dengan penyenggaraan dan menyaraan basikal tetapi kerana masa yang terhad maka penerangan berkaitan perkara tersebut hanya berlegar berkaitan perkara asas sahaja. Pada pendapat saya subjek menyara dan penyenggaran ini merupakan perkara yang penting kerana dengan melakukan menyenggaran dan penyaraan kita akan dapat:-

i. Memastikan basikal kita berada dalam prestasi yang baik pada bila-bila masa sahaja dan bersedia untuk di kayuh.
ii. Dapat mengelakkan kerosakan komponen pada basikal.
iii. Dapat mengelakkan dari mengeluarkan pembelanjaan untuk kerja pembaikan dan menukar komponen yang mahal harganya.
iv. Dapat mengelakkan kerosakan yang mungkin berlaku ketika sedang melakukan aktiviti mengayuh.

Kita semua tahu bahawa komponen yang terdapat pada sebuah basikal adalah mahal dan mungkin memerlukan perbelanjaan ratusan ringgit dan kekadang mencapai ribuan ringgit untuk di beli. Oleh yang demikian penyenggaran atau penyaraan basikal adalah amat perlu untuk memastikan kita tak perlu lagi perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menganti komponen tersebut.

Penyenggaraan dan penyaraan yang betul dan konsistan perlu dilakukan dari masa ke semasa. Apa lagi sekiranya basikal kita kerap melakukan kayuhan atau tugasan yang extreme. Maka pemeriksaan amatlah perlu kerana melibatkan keselamatan penunggang dan basikal itu sendiri.

Bagi mereka yang berkeupayaan dari segi kewangan semuanya menjadi mudah kerana mereka ini hanya perlu menghantar basikal ke kedai untuk di selenggara tetapi bagi saya melakukannya sendiri lebih memberi kepuasan dan  menjimatkan perbelanjaan. Jadi terpulanglah kepada anda sendiri....

Apa yang paling penting sebelum kita mengetahui atau mempelajari berkaitan penyenggaraan atau penyaraan ialah kenali basikal anda terlebih dahulu. Cuba buat kajian, pemeriksaan dan bertanya kepada yang tahu berkaitan dengan basikal anda terlebih dahulu. Kalau boleh cuba buka, perhatikan dan pasang kembali. Setelah anda mengetahui secara mendalam berkaitan basikal anda baru anda boleh melakukan menyenggaraan dan penyaraan basikal tersebut.

Kenapa anda perlu mengenali basikal anda terlebih dahulu? 

Ini adalah kerana basikal ada berbagai komponen yang berbeza, contohnya apa kah jenis bearing yang digunakan oleh basikal anda terutama di bahagian headset atau bahagian bottom bracket dan bahagian-bahagian lain. Ada basikal yang menggunakan bearing secara terbuka dan ada yang menggunakan bearing yang tertutup atau seal bearing atau yang biasa di sebut oleh pekedai sebagai su-bering(saya cuba mencari maklumat berkaitan istilah subearing tapi masih belum jumpa, sesiapa ada maklumat berkaitan istilah ini sila maklumkan...tq).

Setelah kita mengenal basikal barulah kita boleh melakukan penyenggaran dan penyaraan terhadap basikal tetapi ada lagi yang perlu ada dalam kerja penyenggaraan ini iaitu......

1. Carta penyenggaran - carta ini akan memberitahu kita apa yang perlu di lakukan mengikut masa, jarak perjalanan dan komponen mana yang perlu di  periksa. Kerja yang dilakukan samada meminyakkan, memeriksa, merombak atau mengganti bahagian tersebut.

CARTA PENYENGGARAAN BASIKAL

Bil
Apabila Hendak Mengayuh    (Pemeriksaan Keselamatan)
Pemeriksaan Bulanan
(perbatuan 800 km @ 500 batu)
Pemeriksaan setiap 6 bulan
(4000 km @ 2500 batu)
Pemeriksaan Tahunan
(perbatuan 10000km@6000batu)
1.

-Pemeriksaan tayar dan tekanan angin.
-Dapatkan tekanan yang bersesuaian mengikut berat penunggang dan aktiviti yang dilakukan.

-Bersihkan basikal keseluruhan.
-Buat pemeriksaan pada badan dan komponen basikal sekiranya ada keretakan dan kerosakan yang boleh dilihat.

-Bersihkan dan wax untuk melindungi permukaan basikal.

-Periksa frame dan fork sekiranya ada keretakan dan kerosakan yg boleh di lihat.
-Periksa semua bearing seperti hub, bottom bracket. Headset dan pedal.

-Rombak, cuci, minyakkan dan laras semula.

2.
-Periksa bunga tayar samada mencukupi.
-Periksa sekiranya ada serpihan yang tertanam di tayar

-Bersihkan rantai dan cassett.
-Minyakkan kembali selepas dicuci.


-Periksa kondisi tayar dan tukar jika perlu.
-Periksa sekali tube simpanan dan pastikan dalam keadaan baik.


- Periksa semua kabel dan perumahnya samada terdapat kekaratan dan kakisan dan tukarkan jika perlu.

3.
-Periksa semua roda dan ketatkan untuk memastikan ianya dalam keadaan selamat.

-Periksa semua lelidi(spoke) dan pastikan tiada yang longgar.
-Ketatkan jika ada lelidi yang longgar.

- Periksa hub, bottom bracket dan head set.
- Laraskan dan rombak jika perlu.
- Gantikan brake pad atau getah brake dan tape pada handlebar jika perlu.
-Periksa bendalir brek dan tukar sekiranya telah berubah warna.

4.

-Pusingkan roda dan pastikan tiada gangguan.
-Laraskan semula jika perlu.

-Dengan menggunakan perengkuh periksa setiap bahagian yang mempunyai thread seperti crankarms, pedals, chainring bolts, seat bolt, seatpost bolt, stem bolts, handlebar bolts
-Periksa juga semua aksesori yang menggunakan bolt, nut atau skru.

-Periksa semua kabel dan perumahnya bagi brek kiranya terdapat kekaratan dan kakisan, tukar jika perlu.
-Bersihkan dan periksa roda dengan teliti bagi tanda-tanda kehausan pada dinding sisi atau keretakan pada putting lelidi.
5.

-Memeriksa brek boleh bekerja dengan baik dan tiada bunyi geselan antara logam dengan logam.
-Memeriksa getah brek masih mencukupi dan tidak bergesel antara logam dengan logam bagi pengguna ‘V’ brek.

- Minyakkan brek, derailleur, clipless-pedal dan bahagian-bahagian yang bersambung dan bergerak.
- Periksa brake pad dan tukarkan jika perlu.
-Gantikan pita grips pada handle bar.
-Periksa hubs, bottom bracket, headset dan laraskan atau rombak sekira diperlukan.
6.

-Tekan dan lepaskan pada suspension depan dan belakang untuk memeriksa samada ianya bekerja dengan baik.


-Minyakkan semua kabel dan periksa semua kabel samada berkarat ataupun terbengkok(terpatah) atau terkepit dan tukar jika perlu.

- Periksa rantai, cassett dan chainring dan sekiranya terdapat keretakan dan kehausan, tukarkan jika perlu.
-Rombak pedals dan periksa bearing, cuci kemudian minyakkan semula. Jika mana-mana ball bearing telah berkarat gantikan dengan yang baru.
7.

-Periksa rantai dan minyakkan sekiranya nampak terlalu kering.


- Periksa clipless pedal dan mana-mana bahagian yang lekat dimana ianya perlu di buka skrew atau boltnya dicuci, minyakkan dan di ikat semula.


-Bersihkan drivetrain (rantai, chainrings, kaset, depan dan derailleurs belakang) dengan pelarut kain dan mesra alam

-Selenggarakan suspension system dan minyakkan jika perlu mengikut manual bagi komponen tersebut.

8.

- Memastikan anda mempunyai tube spare, tools, pum, dan lain-lain peralatan yg perlu.
-Pastikan persediaan dan keperluan sebelum mengayuh telah tersedia seperti air minuman, makanan(jika perlu), peralatan komunikasi, lampu dengan bateri secukupnya jika kayuhan malam  dan pakaian lengkap sebelum mengayuh.


- Lakukan penyaraan dan meminyakkan kepada component suspension mengikut manual.
- Periksa tekanan angin suspension bagi yang menggunakan jenis angin dan pum jika perlu.
-Minyakkan dan laras serta periksa tekanan angin suspension mengikut manual.
-Minyakkan frame dan juga pum anda.

2. Peralatan - peralatan adalah sangat penting dalam kerja penyenggaraan dan penyaraan. Tanpa peralatan yang betul adalah sesuatu yang mustahil untuk melakukan kerja kerana basikal memerlukan peralatan khas untuk membuka dan memasang. Sekiranya anda menggunakan peralatan yang salah ini akan merosakkan basikal anda.


3. Bahan - apabila kerja menyenggaran dilakukan kita memerlukan bahan seperti minyak, grese, peluntur, pencuci, pengilat dan sebagainya. Apa yang penting kita mestilah tahu kegunaan bahan tersebut dan di mana hendak digunakan. Sekiranya kita salah akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk. Contohnya ialah brek pad - jangan sekali kali biarkan brek pad terkena dengan minyak kerana brek pad yang terkena minyak tidak boleh digunakan lagi. Oleh itu berhati-hati apabila membuka, mencuci dan memasangnya. jgn cuci menggunakan minyak tapi gunalah bahan lain yg lebih sesuai.


Sekiranya basikal kita menggunakan bearing yang terdedah maka penyenggaraan lebih diperlukan berbanding dengan yang menggunakan bearing yang tertutup(sealbearing). Ini kerana bearing yang terdedah  akan lebih mudah berkarat kerana usur luar seperti air, lumpur dan sebagainya boleh sampai ke bearing tersebut. Sekiranya kita mencuci bahagian tersebut dengan menggunakan bahan seperti petrol, desel atau lain-lain bahan pencuci boleh menyebabkan grease yang terdapat pada bearing tersebut akan hilang dan menyebabkan ketiadannya bahan pelincir.


Satu lagi komponen yang begitu mudah tercemar dan kotor ialah bahagian rantai. Rantai basikal terlalu mudah menjadi kotor kerana bahagian ini perlu sentiasa berminyak supaya kayuhan menjadi lancar. Bahagian ini juga amat terdedah dengan unsur atau anasir luar seperti pasir, lumpur, air, minyak, debu dan sebagainya. Penggunaan minyak grease pada bahagian ini adalah tidak digalakkan kerana minyak grease begitu mudah memerangkap pasir dan lumpur. Ini menyebabkan rantai akan menjadi begitu kotor dan banyak bendasing yang akan melekat pada bahagian ini. Jadi gunakan minyak yang di khaskan untuk rantai atau menggunakan alternetif lain seperti menggunakan minyak mesin jahit atau WD40. Walau bagaimana pun minyak mesin jahit dan WD40 adalah minyak yang mudah meruwap jadi perlu di letak semula dalam tempoh 5 hari atau seminggu. Jika tidak rantai akan menjadi kering dan berkarat.

Saya mempunyai satu tip untuk mendapatkan rantai yang cantik, bersih dan selamat. Begini caranya:-

i. Tanggalkan rantai dan cuci menggunakan minyak petrol atau minyak disel untuk menghilangkan minyak dan kotoran yang melekat.
ii. Selepas itu basuh dengan menggunakan sabun basuh pakaian untuk membuang sisa minyak yang melekat.
iii. Kita akan dapat set rantai yang bersih tetapi tidak cantik kerana ada kesan kehitam-hitaman pada rantai tersebut. Untuk mendapatkan rantai yang cantik seperti baru rendam rantai dengan menggunakan asid pembersih tile atau mozet. Rendam lebih kurang 5 minit dan anda akan dapat satu set rantai yang cantik dan bersih seperti baru. Selepas itu basuh dengan air dan minyakkan kembali. 

Anda akan dapat satu set rantai yang seperti baru dan sekiranya ada keretakan pada rantai tersebut kita akan dapat melihat dengan jelas. Tukarkan rantai yang retak untuk keselamatan.

Sekiranya kita tidak mencuci dengan bersih kita tidak akan dapat mengesan keretakan pada rantai tersebut dan rantai ini boleh putus pada bila-bila masa sahaja. Bayangkan kalau putus di dalam hutan atau ketika kita sedang berjamboree. Banyak lagi tempat-tempat lain yang kita boleh kesan kerosakan apabila kita mencuci dengan bersih.

Sebenarnya adalah menjadi satu kepuasan kiranya kita dapat melakukan pembersihan dan pembaikan sendiri kerana menyara dan membaiki basikal bukanlah satu kerja yang sukar sangat cuma memerlukan peralatan yang betul dan sedikit pengetahuan serta kerajinan.

Jadi marilah lakukan sendiri dan kita kayuh dengan hati yang senang.......Jommmm kayuh.......











Tiada ulasan:

Catat Ulasan