Di awal tahun ini mungkin ada sedikit masa terluang untuk aku menulis di blog ini. Berkemungkinan besar apabila masuk bulan Febuari aku akan mula sibuk dengan tugas dan mungkin tiada masa langsung untuk menulis di blog. Memang menjadi lazimnya di awal tahun semuanya mulai sibuk dengan tugasan dan kadang-kadang aktiviti fizikal juga seolah-olah terhenti seketika. Kita akan sibuk dengan tugasan harian, komitmen bersama keluarga dan anak-anak yang baru memulakan persekolahan. Jambori juga tak berapa kedengaran di awal tahun ni dan basikal yang digunakan juga seolah-olah malas untuk di kayuh kerana telah terasa semangkin tua dan buruk jadi semangat untuk mengayuh semakin pudar, cuba kalau basikal baru dulu tengah panas pun sanggup kayuh....hehehehehe...
Walau apa juga alasan yang kita ada sepatutnya kita tidak boleh berhenti mengayuh kerana akan hilang keseimbangan diantara apa yang kita makan dengan tenaga yang kita gunakan. Akan hilang atau berkurangan stamina kita. Badan akan menjadi manja dan malas, akan terasa tak berapa sihat dan lemah, penyakit seperti selsema, pening dan deman semakin kerap menyinggah. Itulah akibatnya kalau kita tak bersenam dan daya tahan badan akan menurun. Tak boleh jadi..... aku mesti kayuh dan mesti ajak kawan untuk kayuh sama tapi sorang pun tak respond untuk berkayuh. Nampaknya masing-masing sibuk atau malas untuk mengayuh dan nampak gaya kena kayuh seorang diri.
Mengayuh basikal sendirian adalah satu perkara yang jarang aku lakukan kerana akan hilang keseronokan mengayuh di samping rasa takut mengayuh seorang diri di dalam hutan atau ladang kelapa sawit yang tiada penghuni. Kalau jadi apa-apa kepada kita semasa mengayuh mesti susah dan bahaya tapi kalau tiada kawan yang sanggup turun adakah kita juga akan mengalah?
Aku kuatkan semangat untuk mengayuh juga seorang diri dan dari pengalaman itu aku berpendapat untuk mengayuh seorang diri rupanya mestilah mempunyai semangat yang kuat. Kita akan merasa sungguh bosan, jarak kayuhan terasa sungguh jauh walaupun laluan yang biasa kita lalui. Apa lagi kalau bertembung dengan halangan seperti anjing liar, ular dan sebagainya terasa sungguh takut dan menyeramkan.
Itu belum lagi kalau difikirkan sekiranya mengalami kerosakan basikal, kepada siapakah kita nak minta tolong. Sepanjang perjalanan kita akan berdoa supaya selamat sampai tanpa sebarang masalah. Setiap laluan akan diperhatikan dengan berhati-hati kerana takut-takut akan salah jalan dan tersesat, didalam minda sentiasa berfikir sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak di ingini. Perkara-perkara ini membuatkan kita akan berasa tidak selesa sekiranya kita mengayuh basikal seorang diri.
Untuk hari berikutnya aku tidak lagi mengayuh melalui jalan yang jauh dan berisiko sekiranya mengayuh seorang diri. Jalan yang aku lalui biasanya hanyalah jalan-jalan kampung dan pinggir-pinggir hutan sahaja. Walaupun kurang sedikit keseronokan mengayuh ditempat sebegitu kita kena fikirkan juga keselamatan kita.
Satu lagi perkara seronok yang patut anda lakukan sewaktu mengayuh seorang diri ialah mendengar radio. Mendengar radio sewaktu mengayuh seorang diri adalah perkarang yang aku suka kerana kita akan lupa dengan kepenatan dan kebosanan sewaktu mengayuh. Biasanya aku akan mendengar saluran Klasik Nasional kerana diwaktu aku mula mengayuh ialah pada jam 5.30pm dan di waktu inilah satu rancangan yang aku minati iaitu rancangan Aku Dia Dan Lagu atau pun ADILA akan ke udara. Rancangan ini akan memperdengarkan kepada kita kisah-kisah yang di hantar oleh pendengar rancangan ini. Terdapat pelbagai kisah suka duka, sedih, percintaan, pengalaman dan sebagainya yang akan diceritakan oleh penyampai-penyampai radio.
Sebelum ini aku bukan seorang pendengar radio. Aku hanya dengar radio ketika dalam kereta sahaja tetapi semenjak aku berkenalan dengan rancangan ADILA aku terpanggil untuk mendengar radio dan waktu yang paling sesuai ialah ketika aku mengayuh. Semenjak itu juga aku tak kisah kiranya kayuh seorang diri kerana aku akan ditemani oleh ADILA sehingga lah pukul 6.30 petang. Masa selama sejam untuk mengayuh adalah sudah memadai.
Kepada kawan-kawan marilah kita kayuh sambil layan ADILA....hehehehe. Jom kayuhhhhhh.......