Isnin, 4 Mac 2013

Cerita Menyelenggara/Menyara MTB

Semasa menjalankan tugas berkaitan Kursus Menunggang Basikal untuk pasukan keselamatan salah satu perkara yang kerap ditanyakan oleh peserta kursus ialah berkaitan bagaimana cara terbaik untuk membuat penyaraan atau menyelenggaraan basikal supaya berada dalam keadaan baik dan dapat memanjangkan hayat basikal tersebut.

Memang dalam silibus kursus tersebut ada satu subjek yang berkaitan dengan penyenggaraan dan menyaraan basikal tetapi kerana masa yang terhad maka penerangan berkaitan perkara tersebut hanya berlegar berkaitan perkara asas sahaja. Pada pendapat saya subjek menyara dan penyenggaran ini merupakan perkara yang penting kerana dengan melakukan menyenggaran dan penyaraan kita akan dapat:-

i. Memastikan basikal kita berada dalam prestasi yang baik pada bila-bila masa sahaja dan bersedia untuk di kayuh.
ii. Dapat mengelakkan kerosakan komponen pada basikal.
iii. Dapat mengelakkan dari mengeluarkan pembelanjaan untuk kerja pembaikan dan menukar komponen yang mahal harganya.
iv. Dapat mengelakkan kerosakan yang mungkin berlaku ketika sedang melakukan aktiviti mengayuh.

Kita semua tahu bahawa komponen yang terdapat pada sebuah basikal adalah mahal dan mungkin memerlukan perbelanjaan ratusan ringgit dan kekadang mencapai ribuan ringgit untuk di beli. Oleh yang demikian penyenggaran atau penyaraan basikal adalah amat perlu untuk memastikan kita tak perlu lagi perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menganti komponen tersebut.

Penyenggaraan dan penyaraan yang betul dan konsistan perlu dilakukan dari masa ke semasa. Apa lagi sekiranya basikal kita kerap melakukan kayuhan atau tugasan yang extreme. Maka pemeriksaan amatlah perlu kerana melibatkan keselamatan penunggang dan basikal itu sendiri.

Bagi mereka yang berkeupayaan dari segi kewangan semuanya menjadi mudah kerana mereka ini hanya perlu menghantar basikal ke kedai untuk di selenggara tetapi bagi saya melakukannya sendiri lebih memberi kepuasan dan  menjimatkan perbelanjaan. Jadi terpulanglah kepada anda sendiri....

Apa yang paling penting sebelum kita mengetahui atau mempelajari berkaitan penyenggaraan atau penyaraan ialah kenali basikal anda terlebih dahulu. Cuba buat kajian, pemeriksaan dan bertanya kepada yang tahu berkaitan dengan basikal anda terlebih dahulu. Kalau boleh cuba buka, perhatikan dan pasang kembali. Setelah anda mengetahui secara mendalam berkaitan basikal anda baru anda boleh melakukan menyenggaraan dan penyaraan basikal tersebut.

Kenapa anda perlu mengenali basikal anda terlebih dahulu? 

Ini adalah kerana basikal ada berbagai komponen yang berbeza, contohnya apa kah jenis bearing yang digunakan oleh basikal anda terutama di bahagian headset atau bahagian bottom bracket dan bahagian-bahagian lain. Ada basikal yang menggunakan bearing secara terbuka dan ada yang menggunakan bearing yang tertutup atau seal bearing atau yang biasa di sebut oleh pekedai sebagai su-bering(saya cuba mencari maklumat berkaitan istilah subearing tapi masih belum jumpa, sesiapa ada maklumat berkaitan istilah ini sila maklumkan...tq).

Setelah kita mengenal basikal barulah kita boleh melakukan penyenggaran dan penyaraan terhadap basikal tetapi ada lagi yang perlu ada dalam kerja penyenggaraan ini iaitu......

1. Carta penyenggaran - carta ini akan memberitahu kita apa yang perlu di lakukan mengikut masa, jarak perjalanan dan komponen mana yang perlu di  periksa. Kerja yang dilakukan samada meminyakkan, memeriksa, merombak atau mengganti bahagian tersebut.

CARTA PENYENGGARAAN BASIKAL

Bil
Apabila Hendak Mengayuh    (Pemeriksaan Keselamatan)
Pemeriksaan Bulanan
(perbatuan 800 km @ 500 batu)
Pemeriksaan setiap 6 bulan
(4000 km @ 2500 batu)
Pemeriksaan Tahunan
(perbatuan 10000km@6000batu)
1.

-Pemeriksaan tayar dan tekanan angin.
-Dapatkan tekanan yang bersesuaian mengikut berat penunggang dan aktiviti yang dilakukan.

-Bersihkan basikal keseluruhan.
-Buat pemeriksaan pada badan dan komponen basikal sekiranya ada keretakan dan kerosakan yang boleh dilihat.

-Bersihkan dan wax untuk melindungi permukaan basikal.

-Periksa frame dan fork sekiranya ada keretakan dan kerosakan yg boleh di lihat.
-Periksa semua bearing seperti hub, bottom bracket. Headset dan pedal.

-Rombak, cuci, minyakkan dan laras semula.

2.
-Periksa bunga tayar samada mencukupi.
-Periksa sekiranya ada serpihan yang tertanam di tayar

-Bersihkan rantai dan cassett.
-Minyakkan kembali selepas dicuci.


-Periksa kondisi tayar dan tukar jika perlu.
-Periksa sekali tube simpanan dan pastikan dalam keadaan baik.


- Periksa semua kabel dan perumahnya samada terdapat kekaratan dan kakisan dan tukarkan jika perlu.

3.
-Periksa semua roda dan ketatkan untuk memastikan ianya dalam keadaan selamat.

-Periksa semua lelidi(spoke) dan pastikan tiada yang longgar.
-Ketatkan jika ada lelidi yang longgar.

- Periksa hub, bottom bracket dan head set.
- Laraskan dan rombak jika perlu.
- Gantikan brake pad atau getah brake dan tape pada handlebar jika perlu.
-Periksa bendalir brek dan tukar sekiranya telah berubah warna.

4.

-Pusingkan roda dan pastikan tiada gangguan.
-Laraskan semula jika perlu.

-Dengan menggunakan perengkuh periksa setiap bahagian yang mempunyai thread seperti crankarms, pedals, chainring bolts, seat bolt, seatpost bolt, stem bolts, handlebar bolts
-Periksa juga semua aksesori yang menggunakan bolt, nut atau skru.

-Periksa semua kabel dan perumahnya bagi brek kiranya terdapat kekaratan dan kakisan, tukar jika perlu.
-Bersihkan dan periksa roda dengan teliti bagi tanda-tanda kehausan pada dinding sisi atau keretakan pada putting lelidi.
5.

-Memeriksa brek boleh bekerja dengan baik dan tiada bunyi geselan antara logam dengan logam.
-Memeriksa getah brek masih mencukupi dan tidak bergesel antara logam dengan logam bagi pengguna ‘V’ brek.

- Minyakkan brek, derailleur, clipless-pedal dan bahagian-bahagian yang bersambung dan bergerak.
- Periksa brake pad dan tukarkan jika perlu.
-Gantikan pita grips pada handle bar.
-Periksa hubs, bottom bracket, headset dan laraskan atau rombak sekira diperlukan.
6.

-Tekan dan lepaskan pada suspension depan dan belakang untuk memeriksa samada ianya bekerja dengan baik.


-Minyakkan semua kabel dan periksa semua kabel samada berkarat ataupun terbengkok(terpatah) atau terkepit dan tukar jika perlu.

- Periksa rantai, cassett dan chainring dan sekiranya terdapat keretakan dan kehausan, tukarkan jika perlu.
-Rombak pedals dan periksa bearing, cuci kemudian minyakkan semula. Jika mana-mana ball bearing telah berkarat gantikan dengan yang baru.
7.

-Periksa rantai dan minyakkan sekiranya nampak terlalu kering.


- Periksa clipless pedal dan mana-mana bahagian yang lekat dimana ianya perlu di buka skrew atau boltnya dicuci, minyakkan dan di ikat semula.


-Bersihkan drivetrain (rantai, chainrings, kaset, depan dan derailleurs belakang) dengan pelarut kain dan mesra alam

-Selenggarakan suspension system dan minyakkan jika perlu mengikut manual bagi komponen tersebut.

8.

- Memastikan anda mempunyai tube spare, tools, pum, dan lain-lain peralatan yg perlu.
-Pastikan persediaan dan keperluan sebelum mengayuh telah tersedia seperti air minuman, makanan(jika perlu), peralatan komunikasi, lampu dengan bateri secukupnya jika kayuhan malam  dan pakaian lengkap sebelum mengayuh.


- Lakukan penyaraan dan meminyakkan kepada component suspension mengikut manual.
- Periksa tekanan angin suspension bagi yang menggunakan jenis angin dan pum jika perlu.
-Minyakkan dan laras serta periksa tekanan angin suspension mengikut manual.
-Minyakkan frame dan juga pum anda.

2. Peralatan - peralatan adalah sangat penting dalam kerja penyenggaraan dan penyaraan. Tanpa peralatan yang betul adalah sesuatu yang mustahil untuk melakukan kerja kerana basikal memerlukan peralatan khas untuk membuka dan memasang. Sekiranya anda menggunakan peralatan yang salah ini akan merosakkan basikal anda.


3. Bahan - apabila kerja menyenggaran dilakukan kita memerlukan bahan seperti minyak, grese, peluntur, pencuci, pengilat dan sebagainya. Apa yang penting kita mestilah tahu kegunaan bahan tersebut dan di mana hendak digunakan. Sekiranya kita salah akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk. Contohnya ialah brek pad - jangan sekali kali biarkan brek pad terkena dengan minyak kerana brek pad yang terkena minyak tidak boleh digunakan lagi. Oleh itu berhati-hati apabila membuka, mencuci dan memasangnya. jgn cuci menggunakan minyak tapi gunalah bahan lain yg lebih sesuai.


Sekiranya basikal kita menggunakan bearing yang terdedah maka penyenggaraan lebih diperlukan berbanding dengan yang menggunakan bearing yang tertutup(sealbearing). Ini kerana bearing yang terdedah  akan lebih mudah berkarat kerana usur luar seperti air, lumpur dan sebagainya boleh sampai ke bearing tersebut. Sekiranya kita mencuci bahagian tersebut dengan menggunakan bahan seperti petrol, desel atau lain-lain bahan pencuci boleh menyebabkan grease yang terdapat pada bearing tersebut akan hilang dan menyebabkan ketiadannya bahan pelincir.


Satu lagi komponen yang begitu mudah tercemar dan kotor ialah bahagian rantai. Rantai basikal terlalu mudah menjadi kotor kerana bahagian ini perlu sentiasa berminyak supaya kayuhan menjadi lancar. Bahagian ini juga amat terdedah dengan unsur atau anasir luar seperti pasir, lumpur, air, minyak, debu dan sebagainya. Penggunaan minyak grease pada bahagian ini adalah tidak digalakkan kerana minyak grease begitu mudah memerangkap pasir dan lumpur. Ini menyebabkan rantai akan menjadi begitu kotor dan banyak bendasing yang akan melekat pada bahagian ini. Jadi gunakan minyak yang di khaskan untuk rantai atau menggunakan alternetif lain seperti menggunakan minyak mesin jahit atau WD40. Walau bagaimana pun minyak mesin jahit dan WD40 adalah minyak yang mudah meruwap jadi perlu di letak semula dalam tempoh 5 hari atau seminggu. Jika tidak rantai akan menjadi kering dan berkarat.

Saya mempunyai satu tip untuk mendapatkan rantai yang cantik, bersih dan selamat. Begini caranya:-

i. Tanggalkan rantai dan cuci menggunakan minyak petrol atau minyak disel untuk menghilangkan minyak dan kotoran yang melekat.
ii. Selepas itu basuh dengan menggunakan sabun basuh pakaian untuk membuang sisa minyak yang melekat.
iii. Kita akan dapat set rantai yang bersih tetapi tidak cantik kerana ada kesan kehitam-hitaman pada rantai tersebut. Untuk mendapatkan rantai yang cantik seperti baru rendam rantai dengan menggunakan asid pembersih tile atau mozet. Rendam lebih kurang 5 minit dan anda akan dapat satu set rantai yang cantik dan bersih seperti baru. Selepas itu basuh dengan air dan minyakkan kembali. 

Anda akan dapat satu set rantai yang seperti baru dan sekiranya ada keretakan pada rantai tersebut kita akan dapat melihat dengan jelas. Tukarkan rantai yang retak untuk keselamatan.

Sekiranya kita tidak mencuci dengan bersih kita tidak akan dapat mengesan keretakan pada rantai tersebut dan rantai ini boleh putus pada bila-bila masa sahaja. Bayangkan kalau putus di dalam hutan atau ketika kita sedang berjamboree. Banyak lagi tempat-tempat lain yang kita boleh kesan kerosakan apabila kita mencuci dengan bersih.

Sebenarnya adalah menjadi satu kepuasan kiranya kita dapat melakukan pembersihan dan pembaikan sendiri kerana menyara dan membaiki basikal bukanlah satu kerja yang sukar sangat cuma memerlukan peralatan yang betul dan sedikit pengetahuan serta kerajinan.

Jadi marilah lakukan sendiri dan kita kayuh dengan hati yang senang.......Jommmm kayuh.......











Rabu, 30 Januari 2013

Cerita Kayuh Sorang

Di awal tahun ini mungkin ada sedikit masa terluang untuk aku menulis di blog ini. Berkemungkinan besar apabila masuk bulan Febuari aku akan mula sibuk dengan tugas dan mungkin tiada masa langsung untuk menulis di blog. Memang menjadi lazimnya di awal tahun semuanya mulai sibuk dengan tugasan dan kadang-kadang aktiviti fizikal juga seolah-olah terhenti seketika. Kita akan sibuk dengan tugasan harian, komitmen bersama keluarga dan anak-anak yang baru memulakan persekolahan. Jambori juga tak berapa kedengaran di awal tahun ni dan basikal yang digunakan juga seolah-olah malas untuk di kayuh kerana telah terasa semangkin tua dan buruk jadi semangat untuk mengayuh semakin pudar, cuba kalau basikal baru dulu tengah panas pun sanggup kayuh....hehehehehe...

Walau apa juga alasan yang kita ada sepatutnya kita tidak boleh berhenti mengayuh kerana akan hilang keseimbangan diantara apa yang kita makan dengan tenaga yang kita gunakan. Akan hilang atau berkurangan stamina kita. Badan akan menjadi manja dan malas, akan terasa tak berapa sihat dan lemah, penyakit seperti selsema, pening dan deman semakin kerap menyinggah. Itulah akibatnya kalau kita tak bersenam dan daya tahan badan akan menurun. Tak boleh jadi..... aku mesti kayuh dan mesti ajak kawan untuk kayuh sama tapi sorang pun tak respond untuk berkayuh. Nampaknya masing-masing sibuk atau malas untuk mengayuh dan nampak gaya kena kayuh seorang diri.

Mengayuh basikal sendirian adalah satu perkara yang jarang aku lakukan kerana akan hilang keseronokan mengayuh di samping rasa takut mengayuh seorang diri di dalam hutan atau ladang kelapa sawit yang tiada penghuni. Kalau jadi apa-apa kepada kita semasa mengayuh mesti susah dan bahaya tapi kalau tiada kawan yang sanggup turun adakah kita juga akan mengalah?

Aku kuatkan semangat untuk mengayuh juga seorang diri dan dari pengalaman itu aku berpendapat untuk mengayuh seorang diri rupanya mestilah mempunyai semangat yang kuat. Kita akan merasa sungguh bosan, jarak kayuhan terasa sungguh jauh walaupun laluan yang biasa kita lalui. Apa lagi kalau bertembung dengan halangan seperti anjing liar, ular dan sebagainya terasa sungguh takut dan menyeramkan. 

Itu belum lagi kalau difikirkan sekiranya mengalami kerosakan basikal, kepada siapakah kita nak minta tolong. Sepanjang perjalanan kita akan berdoa supaya selamat sampai tanpa sebarang masalah. Setiap laluan akan diperhatikan dengan berhati-hati kerana takut-takut akan salah jalan dan tersesat, didalam minda  sentiasa berfikir sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak di ingini. Perkara-perkara ini membuatkan kita akan berasa tidak selesa sekiranya kita mengayuh basikal seorang diri.

Untuk hari berikutnya aku tidak lagi mengayuh melalui jalan yang jauh dan berisiko sekiranya mengayuh seorang diri. Jalan yang aku lalui biasanya hanyalah jalan-jalan kampung dan pinggir-pinggir hutan sahaja. Walaupun kurang sedikit keseronokan mengayuh ditempat sebegitu kita kena fikirkan juga keselamatan kita. 

Satu lagi perkara seronok yang patut anda lakukan sewaktu mengayuh seorang diri ialah mendengar radio. Mendengar radio sewaktu mengayuh seorang diri adalah perkarang yang aku suka kerana kita akan lupa dengan kepenatan dan kebosanan sewaktu mengayuh. Biasanya aku akan mendengar saluran Klasik Nasional kerana diwaktu aku mula mengayuh ialah pada jam 5.30pm dan di waktu inilah satu rancangan yang aku minati iaitu rancangan Aku Dia Dan Lagu atau pun ADILA akan ke udara. Rancangan ini akan memperdengarkan kepada kita kisah-kisah yang di hantar oleh pendengar rancangan ini. Terdapat pelbagai kisah suka duka, sedih, percintaan, pengalaman dan sebagainya yang akan diceritakan oleh penyampai-penyampai radio.

Sebelum ini aku bukan seorang pendengar radio. Aku hanya dengar radio ketika dalam kereta sahaja tetapi semenjak aku berkenalan dengan  rancangan ADILA aku terpanggil untuk mendengar radio dan waktu yang paling sesuai ialah ketika aku mengayuh. Semenjak itu juga aku tak kisah kiranya kayuh seorang diri kerana aku akan ditemani oleh ADILA sehingga lah pukul 6.30 petang. Masa selama sejam untuk mengayuh adalah sudah memadai.

Kepada kawan-kawan marilah kita kayuh sambil layan ADILA....hehehehe. Jom kayuhhhhhh.......


Jumaat, 7 Disember 2012

Cerita Pasal Jantung

Salammm............lama betul rasanya tak menulis di sini. Kekadang tu rasanya nak menulis tapi belum ada berkesempatan. Di samping dengan tugas hakiki ada pula tugas sampingan baru iaitu melatih anggota pasukan keselamatan dalam satu unit yang baru hendak ditubuhkan. Unit yang saya maksudkan ialah Unit Berbasikal. Unit ini bertanggung jawab menjaga keselamatan awam dengan menunggang basikal. Banyak juga kerja dan kajian yang perlu dibuat sebelum boleh mengajar dalam unit ini. Tapi di sini saya bukan hendak bercerita berkaitan dengan unit ini, mungkin apabila unit ini sudah di lancar dengan rasminya barulah saya akan menulis panjang lebar berkaitan cerita melatih untuk unit ini.

Kali ni tergerak pula nak bercerita berkaitan dengan jantung, Kebelakang ni kerap betul dengar cerita berkaitan kematian yang disebabkan oleh kegagalan jantung berfungsi. Ianya bukan hanya melibatkan mereka yang ada masalah jantung dan orang tua tetapi melibatkan juga orang muda yang kuat dan lasak. Ada juga berita yang kita dengar penunggang basikal yang mempunyai stamina meninggal ketika menjalankan aktiviti menunggang basikal.

Oleh yang demikian saya berpendapat bahawa mangsa sakit jantung ini tidak memilih orang, siapa sahaja boleh mendapat serangan jantung. Jadi apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh kita sebagai pengayuh tegar. Mungkin ramai di antara kita yang menjalankan pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui tahap kesihatan jantung tetapi pemeriksaan yang kita lakukan biasanya 6 bulan sekali tidak cukup untuk menjaga jantung kita. Kalau kita lihat pemain bola sepak professional yang kerap menjalankan pemeriksaan kesihatan pun boleh meninggal di tengah padang.

Orang macam kita ni pun bukannya tahu sangat pasal jantung dan hanya dengar dari mulut kemulut berkaitan jantung sedangkan orang yang cakap pun lebih kurang macam kita juga. Walau bagaimana pun satu langkah mesti di ambil demi kebaikan bersama.

Secara tidak langsung saya cuba membuat sedikit penyelidikan apakah sifat jantung dan bagaimana kita boleh lakukan untuk mengetahui keadaan jantung kita.

Maklumat pertama yang saya dapat ialah apabila kita hendak melakukan aktiviti sukan yang akan menyebabkan jantung kita berdegup laju kita mesti melakukan straching terlebih dahulu untuk mengelakkan jantung kita terus bekerja dengan kuat secara tiba-tiba. Straching yang kita lakukan akan menyebabkan jantung akan melaju secara berperingkat-peringkat. Apabila kita mengayuh kita patut memulakan dengan straching kemudian mulakan kayuhan dengan berperingkat-peringkat kepada laju. Jangan terus kayuh secara laju.

Maklumat kedua ialah dengan mengetahui berapakah kadar denyutan jantung yang efektif dan baik untuk menurunkan berat badan. Perkara ini telah saya sebut dalah artikal saya yang lepas iaitu kadar degupan jantung yang efektif ialah 200 ditolak dengan umur(200 - umur). Sekiranya umur 40 tahun bermakna 200 - 40 = 160 degupan/seminit. Jadi kalau nak melakukan aktivit menurunkan berat badan pastikan lakukan senaman sehingga jantung kita dapat mencapai degupan ini.

Maklumat ketiga dan yang paling penting ialah dengan mengetahui berapakah degupan jantung maksima bagi kita berbanding dengan umur. Sekiranya jantung kita bedegup melebihi dari kadar maksima ini adalah bahaya. Cara untuk mengetahui kadar maksima jantung ialah dengan menggunakan formula ini:

              Bagi berumur bawah 30 tahun ialah 220 - umur. Contoh jika berumur 29 tahun
                          220 - 29 = 191 degupan/seminit

              Bagi yang berumur lebih 30 tahun formulanya ialah     190 - (umur-30)
                                                                                                                   2
                            contoh: jika berumur 40 tahun     =    190 - (40 - 30)
                                                                                                      2

                                                                              =     190 - (10)
                                                                                                  2

                                                                              =      190 - 5

                                                                              =      185 degupan seminit.


Itulah cara untuk mengetahui kadar maksima degupan jantung kita tapi macamana kita hendak mengira degupan jantung kita? Dan macamana kita nak tahu jantung kita telah berdegup mencapai tahap maksima?

Nampaknya kita terpaksa mengeluarkan sedikit buget untuk membeli gaget yang dapat memberitahu kita kadar degupan jantung kita. Alat tersebut ialah heart rate sport watch, jam jenis ini banyak di jual dengan pelbagai fungsi dengan harga dari RM 250 ++ hinggalah beribu-ribu bergantung jenis dan fungsinya.

Apalah sangat dengan harga dua ratus lebih berbanding dengan nyawa dan kesihatan kita tapi kekadang memang susah sikit kita nak keluar duit untuk beli alatan seperti ini. Kalau keluar duit beribu-ribu untuk beli basikal dan aksesori tak apa.....

Jam tersebut biasanya perlu di setting mengikut pengguna, maklumat yang biasa di perlukan ialah jantina, umur dan berat badan pengguna. Maklumat inilah yang akan menentukan berapakah maksima degupan jantung. Apabila maklumat ini telah di masukkan pada jam tersebut secara automatik akan dipaparkan berapakah degupan maksima bagi penguna tersebut. Biasanya banyak maklumat akan dipaparkan pada jam tersebut seperti zon efektif dan zon maksima. Jam ini juga akan memberikan amaran sekiranya jantung kita mencapai had maksima atau bila ianya berdegup terlalu perlahan. Maklumat lainnya ialah seperti masa, kadar maksima dan minima, kadar kalori yg di gunakan dan banyak lagi mengikut model yang digunakan.

Jadi apabila kita hendak melakukan aktiviti fizikal yang sedikit keras ada baiknya kita menggunakan alat ini dimana amaran akan diberikan sekiranya ada yang tak kena dengan jantung kita.

Bagi sesiapa yang memang mempunyai masalah jantung, mereka yang kerap melakukan aktiviti fizikal atau mereka yang telah berusia gunakan alat ini dan mari kita kayuh bersamaaaaaa......

Jumaat, 21 September 2012

Cerita Lama Tak Ngayuh

Syawal telah berlalu...pelbagai cerita dan kisah dari ramadan hingga syawal telah terukir dalam memori hidup. Suka duka tawa tangis dan pelbagai lagi suasana dapat kita alami sepanjang ramadan dan diikuti oleh syawal yang mulia. 

Apabila ramadan bermula maka aktiviti fizikal seakan-akan terhenti, pelbagai alasan untuk tidak melakukan aktiviti fizikal. Saya pun begitu juga rasa letih, malas dan tak berdaya. Sebelah malamnya pula di isi dengan ibadah terawih. Selain itu berbagai perkara yang perlu dilakukan untuk persiapan hari raya, persiapan diri, keluarga, rumah dan juga persediaan kuih muih dan makan minum seolah-olah tak berakhir selagi tidak sampai hari raya. Ini menyebabkan peluang untuk berkayuh dan menjalankan aktiviti fizikal seolah-olah tiada  langsung.

Sepanjang ramadan kita dihidangkan dengan makanan yang pelbagai, ditambah dengan nafsu yang sukar di bendung menjadikan harapan sampingan sempena puasa untuk menurunkan berat badan rasanya susah untuk dijayakan. Apalagi kalau berjalan di pasar ramadan, semuanya nampak sedap dan menyelerakan. Semuanya hendak ditunjuk, semuanya hendak di rasa. Kalau ramai yang pergi lagi banyaklah yang di beli kerana mengikut selera yang berbeza. Bila masuk waktu berbuka semuanya hendak di makan tapi nafsu melebihi dari keupayaan. Maka banyak makanan yang tidak dapat dihabiskan tetapi kekadang sayang tengok makanan yang dibazirkan jamah juga la sedikit. Begitulah sedikit sebanyak senario di bulan puasa, setiap tahun sama sahaja situasinya. Melayu mudah lupa............

Apabila masuk hari raya lebih hebat suasananya. Kesibukan merayakan hari raya bersama keluarga dan sanak saudara menghadkan kita untuk melakukan aktiviti fizikal. Tak kira siang atau malam ada saja akitviti, semua aktiviti ini di selangi dengan makan. Di hari raya semestinya makanan penuh meja. Bila menziarah rumah saudara mara pun begitu juga, makanan penuh di meja. Kiranya makan....makan....makan....makan.

Selepas itu ada pula marhaban, maka berarak lah dari satu rumah ke satu rumah. Yang pastinya setiap rumah ada saja hidangan, samada hidangan ringkas atau berat....makan satu kemestian. Seminggu berlalu dan kita balik ke kediaman masing-masing tapi masih lagi belum berakhir kerana raya sebulan. Acara seterusnya ialah rumah terbuka. Dari satu rumah ke satu rumah ada saja rumah terbuka, makanan yang di sediakan hebat-hebat belaka. Rugi kalau tak datang lagi pun tak boleh hampakan tuan rumah yang menjemput, jadi kesimpulannya memang banyak yang kita makan sepanjang ramadan dan juga syawal sedangkan aktiviti fizikal tiada langsung.

Selepas dua bulan berlalu maka cuba-cuba lah timbang berat badan.....alamak.... naik hampir 3kg. Hanya dalam 2 bulan berat boleh bertambah lebih dari 2kg. Cuba bayangkan nak buang 3 kg memakan masa berbulan tapi nak naik cepat betul. Sepatutnya di bulan puasa boleh turunkan berat tapi ini sebaliknya.

Setelah hampir 3 bulan aku mulakan balik kayuh basikal. Rasanya memang malas untuk mengayuh tapi semangat terpaksa di kuatkan kerana seluar dah mula ketat. Hari pertama mgayuh...macam nak mati. Hari kedua ngayuh.......punggung kebas dan perit. Aduiiiiiiii.................

Saya rasa ramai kawan-kawan diluar sana pun mengalami keadaan yang sama seperti saya. Setiap tahun pun sama juga kesudahannya. Bayangkan berapa banyak lemak yang terkumpul hanya dalam masa beberapa bulan dan bukan mudah untuk mencairkan lemak-lemak tersebut.

Semangat mesti kuat...... Mari kita berjuang semula demi menjaga kesihatan. Raya tiap-tiap tahun ada tapi jangan sampai kita tak dapat beraya lagi ditahun hadapan.......


 Di kesempatan ini diucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin....maaf kiranya ada catatan yg menyinggung......

Apa lagi ......Jom....kita ngayuh......

Khamis, 9 Ogos 2012

Cerita Jenis MTB Dan Aktivitinya


MTB bermula pada tahun 1976 di California yang dikenali sebagai clunker atau cruiser. Pada permulaannya mereka menggunakan basikal BMX untuk aktiviti ini tetapi basikal BMX tidak begitu sesuai untuk perjalanan yang jauh. Ianya juga tidak begitu sesuai untuk pendakian dan menuruni bukit. BMX hanya sesuai untuk lompatan dan dapat bergerak dengan tangkas. Pengubahsuaian dilakukan supaya lebih sesuai dengan keadaan aktiviti yang mereka lakukan, maka lahirlah mountain bike(MTB). Pengubahsuaian dilakukan mengikut kesesuaian aktiviti mtb seperti berikut.......

TERDAPAT 5 JENIS MOUNTAIN BIKE DAN AKTIVITNYA

Cross country (XC):
Di bina untuk kesukaran ringan dan sederhana. Reka bentuk yang efisien dan optima untuk mengayuh dan melalui di jalan tar hingga ke jalan tanah atau pun off road. Basikal jenis ini lebih lincah dan sesuai untuk semua jenis jalan samada mendaki, menurun ataupun melalui jalan berlumpur. Namun, basikal jenis ini tidak direka untuk tugas berat seperti downhill kerana sifatnya yang ringan dan bukan untuk tugas berat. Basikal ini biasanya digunakan untuk merentas desa dan mengembara.

 
Enduro/All mountain (AM):
Basikal jenis ini dibina untuk tugas yang sedikit berat berbanding XC kerana digunakan untuk mendaki bukit, menuruni cerun, memasuki hutan dengan jalan berbatu dan menjelajah jalan off road dalam jarak yang jauh. Hampir keseluruhan  basikal ini adalah full-suspension. Karektor basikal ini hampir menyerupai basikal XC cuma kerangkanya lebih kuat dan berat berbanding XC. Biasanya kerangka basikal ini lebih besar sedikit. Ini kerana basikal ini biasanya digunakan untuk aktiviti yang lebih extreme.



 
Freeride (FR):
Basikal jenis ini dibentuk untuk tahan kepada drop off(lompatan) tinggi dan extreme atau pergerakan seumpamanya. Badannya kuat namun tidak secepat dan selincah all mountain karena kerangka yang lebih berat. Tidak sesuai untuk perjalanan jarak jauh. Jolokkan freeride ini kerana ianya dimainkan mengikut track yang telah disiapkan dan penunggang akan melakukan pelbagai teknik di track yang telah ditetapkan. Kedudukan tempat duduk biasanya lebih rendah. Berat basikal jenis ini lebih berat dari jenis AM dan XC.

Downhill (DH):
Basikal jenis ini dibina untuk menampung kelajuan tinggi dan keadaan jalan yang extreme. Ianya hanya digunakan untuk menuruni bukit sahaja dan kerana itu lebih berat lebih sesuai. Ianya dicipta untuk menampung tekanan tinggi ketika melalui atau menuruni bukit. Keseluruhan basikal jenis ini jenis full-suspension dan absover depan dan belakangnya menggunakan jenis yang tahan kepada hentakan yang kuat. Biasanya para downhiller tidak mengayuh basikal dan basikal ini tidak sesuai untuk aktiviti lain. Basikal ini perlu kesetabilan yang tinggi kerana kelajuannya ketika menuruni bukit. Aktiviti ini biasanya menpunyai tracknya sendiri yang di bina untuk aktiviti downhill. Suspension depan dan belakang biasanya mempunyai jarak travel yang banyak antara 150mm hingga 200mm.

Disebabkan pergerakan yang extreme penunggangnya biasanya akan mengenakan peralatan keselamatan seperti helmet full-face, pelindung siku, pelindung lutut dan sebagainya untuk mengelakkan atau mengurangkan kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.





Dirt jump (DJ)/ Urban and Street (DJ):

Nama lainnya adalah urban MTB. Penggemar jenis ini awalnya adalah anak muda bandar yang menggunakan basikal gunung selain sebagai alat pengangkutan di sekitar jalanan kota, ianya juga digunakan untuk melakukan aksi lompatan dan extreme. Fungsinya seperti BMX namun dengan bentuk yang diperbesar. Biasanyanya basikal DJ memiliki frame yang hampir sama dengan jenis BMX (singkatan dari B=Bicycle M=Moto X=Cross), tetapi memiliki diameter yang lebih besar antara 30% - 40%. Jenis basikal DJ ini digunakan untuk dapat menempuh segala kontur yang terdapat di sekitar bandar seperti pembahagi, tangga, tembok dan sebagainya. Walaubagaimana pun sekarang telah banyak litar dibina untuk aktiviti ini.

Mempunyai tempat duduk yang sangat rendah dan jarang digunakan. Tidak mempunyai gear yang banyak dan digunakan untuk melakukan aksi sahaja.